STATUS PENGLIBATAN PASUKAN MALAYSIA DI TURKIYE
STATUS PENGLIBATAN PASUKAN MALAYSIA DI TURKIYE
Seramai 142 orang anggota dan dua (2) ekor anjing pengesan dari Malaysia telah dihantar untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat di Turkiye yang dilanda bencana gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter. Hasil kerjasama rapat antara semua Agensi Kerajaan Malaysia, Perwakilan Malaysia di Ankara dan Istanbul, Pasukan Malaysia yang diketuai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) merupakan antara Pasukan Mencari dan Menyelamat (Search and Rescue-SAR) terawal sampai di Ground Zero iaitu di Gaziantep. Pasukan Malaysia juga merupakan pasukan SAR pertama dari negara ASEAN yang tiba di sini. Pasukan Malaysia dianggotai oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Malaysia juga telah menggerakkan pembukaan Hospital Medan Kategori 3 oleh ATM yang akan beroperasi di wilayah Adiyaman, Turkiye. Dua (2) pesawat A400 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Gaziantep pada petang 10 Februari 2023 (waktu tempatan) setelah melalui penerbangan selama 15 jam dengan membawa peralatan melebihi 30 tan dan 38 orang anggota teknikal. Manakala 70 orang lagi anggota perubatan pelbagai pangkat dari ATM telah berangkat melalui penerbangan Turkish Airlines pada 10 dan 11 Februari 2023 dengan membawa sekali peralatan tambahan seberat 8.8 tan.
Tiga (3) orang pegawai SMART telah diberi tugasan awal oleh Agensi Bencana Alam Turkiye (AFAD) untuk mengendalikan Reception Departure Centre (RDC) di Lapangan Terbang Adana. Mereka juga mengkoordinasi urusan kemasukan pasukan SAR dari negara-negara lain. Penugasan di RDC adalah berdasarkan mekanisme dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG). Sebagai antara pasukan pertama yang tiba, pasukan bantuan Malaysia menjadi rujukan untuk membantu Agensi Bencana Tuan Rumah dan United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (UN OCHA) sebagai pegawai pengendali RDC sehingga digantikan oleh pasukan yang tiba kemudiannya. Pasukan Malaysia juga telah melaksanakan tugasan dengan cemerlang walaupun dalam keadaan cuaca yang amat sejuk di bawah paras beku, khususnya pada waktu malam.
Antara kejayaan besar pasukan Malaysia adalah penemuan seramai lima (5) orang mangsa yang terselamat walaupun selepas lebih 129 jam (5 hari) kejadian gempa bumi berlaku.
Berdasarkan maklum balas daripada Pasukan Malaysia di Gaziantep, barang-barang yang amat diperlukan oleh mangsa yang terselamat adalah seperti berikut:
i. Khemah musim sejuk (tents with winter insulations);
ii. Selimut tebal (blankets);
iii. Pemanas (heaters);
iv. Bilik mandi dan tandas mudah alih (mobile toilets and baths);
v. Beg tidur (sleeping bags); dan
vi. Kontena untuk tempat tinggal sementara.
Bagi sesiapa yang ingin menyumbang kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria, sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) yang diselia oleh pihak Kementerian Luar Negeri. Sumbangan yang dibuat adalah layak untuk dituntut sebagai sumbangan pengecualian daripada cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967. Maklumat mengenai TBKLN adalah seperti berikut:
Nama Akaun : Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri
Nama Bank : Affin Islamic Bank Berhad, Cawangan Putrajaya
Nombor Akaun : 1054 9000 0599
Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit, sila nyatakan butiran sumbangan anda melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh dimajukan kepada pihak Sekretariat TBKLN (tbkln@kln.gov.my).
Mengambil kira kemungkinan berlaku gegaran susulan, rakyat Malaysia yang kini berada di Turkiye, Syria dan di negara-negara berdekatan dinasihatkan agar terus mengambil langkah berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.
PUTRAJAYA
12 Februari 2023