SITUASI TERKINI WARGA MALAYSIA DI LUBNAN
SITUASI TERKINI WARGA MALAYSIA DI LUBNAN
Berikutan konflik Palestin-Israel yang semakin berterusan dan memandangkan kawasan di Selatan Lubnan turut menjadi serangan pihak Israel, Kerajaan telah mengarahkan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau keadaan rakyat Malaysia di Lubnan termasuk pasukan pengaman ATM-PBB iaitu MALBATT yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah berhubung rapat dengan 12 warga Malaysia serta keluarga yang kini bermastautin di Lubnan. Dalam keadaan semasa, warga Malaysia disaran agar dapat menangguhkan perjalanan yang tidak penting (non-essential travel) ke Lubnan.
Sebagai langkah awal, Kerajaan telah memutuskan agar ahli keluarga kakitangan Kedutaan Besar Malaysia kembali ke Malaysia sehingga keadaan keselamatan membenarkan, sebagai langkah pro-aktif Kerajaan bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia menjadi keutamaan negara.
Walau bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia akan terus beroperasi seperti biasa. Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular dan mempunyai pertanyaaan boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut seperti butiran berikut:
Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, Lubnan
Lot 170, Saad Zaghloul Street
Downtown Beirut, Lebanon
Tel: +961 (1)1970207 (pejabat) +961-71380063 (bimbit)
Emel: mwbeirut@kln.gov.my
PUTRAJAYA
15 Oktober 2023