SIDANG KEMUNCAK TERGEMPAR PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC) KE-8 BAGI MEMBINCANGKAN SERANGAN ISRAEL YANG BERTERUSAN KE ATAS PALESTIN DI RIYADH, ARAB SAUDI, 11 NOVEMBER 2023
SIDANG KEMUNCAK TERGEMPAR PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC)
KE-8 BAGI MEMBINCANGKAN SERANGAN ISRAEL YANG BERTERUSAN KE
ATAS PALESTIN DI RIYADH, ARAB SAUDI, 11 NOVEMBER 2023
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-8 bagi membincangkan serangan, kekejaman dan ketidakberperikemanusiaan rejim Israel yang berterusan ke atas Palestin pada 11 November 2023 di Riyadh, Arab Saudi.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Sidang Kemuncak Tergempar OIC ke-8 ini akan dihoskan oleh Duli Yang Teramat Mulia Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi yang akan turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dan wakil-wakil Negara Anggota OIC.
Sidang Kemuncak ini akan didahului dengan dua mesyuarat persediaan, iaitu Mesyuarat Persediaan di Peringkat Menteri pada 10 November 2023 dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan pada 9 November 2023.
Sidang Kemuncak ini merupakan keberhasilan daripada kerjasama utuh YAB Perdana Menteri bersama beberapa Pemimpin OIC.
Semasa Sidang Kemuncak ini, YAB Perdana Menteri akan menyatakan pendirian tegas Malaysia mengenai usaha segera untuk menamatkan tindakan pembunuhan beramai- ramai Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza di mana krisis kemanusiaan masih berlarutan serta keperluan utama bagi Negara-negara Anggota OIC dan seluruh masyarakat antarabangsa untuk membantu menangani nasib dan penderitaan rakyat Palestin.
Sidang Kemuncak ini dijangka akan menerima pakai satu Dokumen Hasil (Final Communiqué).
PUTRAJAYA
10 November 2023