SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-43 DAN SIDANG-SIDANG KEMUNCAK BERKAITAN 5-7 SEPTEMBER 2023, JAKARTA, INDONESIA
SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-43
DAN SIDANG-SIDANG KEMUNCAK BERKAITAN 5-7 SEPTEMBER 2023, JAKARTA, INDONESIA
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 7 September 2023 di Jakarta, Indonesia.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri; YB Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Selain daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, YAB Perdana Menteri akan menghadiri Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan antara ASEAN dan tujuh (7) Rakan Dialog iaitu, Australia, China, Jepun, India, Republik Korea, Amerika Syarikat dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Di luar Sidang Kemuncak ASEAN, YAB Perdana Menteri akan turut menghadiri Upacara Perasmian ASEAN-Indo Pacific Forum (AIPF) pada 5 September 2023. AIPF akan memberi ruang bagi para pemegang taruh untuk berbincang secara inklusif bagi meneroka kerjasama yang akan menggalakkan perkembangan ekonomi yang berdaya tahan, mampan, transformatif dan kreatif di rantau ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan akan membolehkan Malaysia untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai usaha-usaha pembinaan komuniti ASEAN, Komuniti ASEAN Pasca 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar, serta isu-isu serantau dan antarabangsa. Penyertaan Malaysia juga akan menunjukkan komitmen berterusan negara terhadap kerjasama serantau dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara.
Semasa di Jakarta, YAB Perdana Menteri turut dijangka akan bertemu dengan beberapa rakan sejawat pada sela-sela mesyuarat.
Sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, YB Menteri Luar Negeri akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-27 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-34. Beliau juga akan bertemu dengan beberapa rakan sejawat pada sela-sela mesyuarat semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan.
PUTRAJAYA
4 September 2023