SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-42 DAN MESYUARAT BERKAITAN 10-11 MEI 2023 LABUAN BAJO, NUSA TENGGARA TIMUR, INDONESIA
SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-42 DAN MESYUARAT BERKAITAN
10-11 MEI 2023
LABUAN BAJO, NUSA TENGGARA TIMUR, INDONESIA
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 11 Mei 2023 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri; YB Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi; serta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Ekonomi.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Pemukiman Sidang Kemuncak, YAB Perdana Menteri turut akan mengambil bahagian dalam Perbincangan Suamuka antara Pemimpin-Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Belia ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025.
YAB Perdana Menteri akan menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand ke-15 (Sidang Kemuncak IMT-GT) serta mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia– Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) ke-15, yang dijadualkan di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan akan menjadi peluang bagi Malaysia untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai isu, termasuk usaha pembinaan komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar, serta perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk pembangunan di Myanmar dan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC). Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan menunjukkan komitmennya terhadap kerjasama serantau, memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara berlatarbelakangkan ketidakstabilan, keselamatan dan sosio ekonomi di rantau ini.
Semasa di Labuan Bajo, YAB Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan di sela-sela mesyuarat dengan beberapa rakan sejawatannya di ASEAN.
Tema Kepengerusian ASEAN Indonesia untuk 2023 ialah “ASEAN Matters: Epicentrum of Growth”.
PUTRAJAYA
9 Mei 2023