SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-40 DAN KE-41 DAN SIDANG-SIDANG KEMUNCAK BERKAITAN 10-13 NOVEMBER 2022, PHNOM PENH, KEMBOJA
SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-40 DAN KE-41 DAN SIDANG-SIDANG KEMUNCAK BERKAITAN
10-13 NOVEMBER 2022, PHNOM PENH, KEMBOJA
YB Tan Sri Azhar Azizan Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat selaku Wakil Khas kepada Perdana Menteri, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Phnom Penh, Kemboja, pada 10-13 November 2022. Beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Tema ASEAN di bawah Kepengerusian Kemboja bagi tahun 2022 adalah “ASEAN A.C.T.: Addressing Challenges Together.”
Selain daripada Sidang-sidang Kemuncak ASEAN, YB Tan Sri Azhar juga akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu bersama-sama dengan Pemimpin-pemimpin dari Australia, Kanada, China, India, Jepun, Republik Korea, Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga serta Sidang Kemuncak Asia Timur.
Di sela-sela Sidang-sidang Kemuncak ASEAN, Malaysia akan turut menyertai Perbincangan Suamuka antara Pemimpin-pemimpin dengan Wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC). Selain itu, Pemimpin-pemimpin ASEAN juga akan mengadakan kunjungan menghadap ke atas Yang Mulia Preah Bat Samdech Preah Boromneath Norodom Sihamoni, Raja Kemboja.
Penyertaan Malaysia ke Sidang-sidang Kemuncak ASEAN pada kali ini menzahirkan komitmen yang teguh terhadap ASEAN, termasuk dalam mengetengahkan kepusatan dan kesatuan ASEAN, usaha-usaha pembangunan komuniti serta penglibatan dan kerjasama berterusan dengan Rakan-rakan Dialog ASEAN serta pihak luar, tatkala menghadapi dinamik serantau yang semakin mencabar dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di peringkat global. Malaysia juga akan mengulangi pendiriannya mengenai situasi di Myanmar dan akan menyeru supaya ASEAN mengambil pendirian yang lebih tegas berhubung isu ini dalam perbincangan semasa Sidang-sidang Kemuncak ASEAN.
PUTRAJAYA
10 November 2022