SIARAN AKHBAR : PENYERTAAN MALAYSIA KE STATUT ROME MAHKAMAH JENAYAH ANTARABANGSA
PENYERTAAN MALAYSIA KE STATUT ROME
MAHKAMAH JENAYAH ANTARABANGSA
Keputusan Kerajaan untuk menyertai Statut Rome adalah selari dengan dasar kerajaan ‘Malaysia Baharu’ yang menegakkan prinsip kebenaran, hak-hak kemanusiaan, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kebertanggungjawaban.
Kerajaan telah mengkaji secara mendalam dan teliti dari segi semua aspek sebelum membuat keputusan untuk menyertai Statut Rome. Keputusan dibuat setelah Kerajaan yakin bahawa kedudukan dan kekebalan SPB Yang di-Pertuan Agong tidak akan terjejas. Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa SPB Yang di-Pertuan Agong membuat sesuatu keputusan di atas nasihat YAB Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. YB Menteri Luar Negeri juga telah menyembahmaklum perkara ini kepada SPB Yang di-Pertuan Agong dan memberi penerangan tentang hasrat kerajaan untuk menyertai Statut Rome pada 15 Februari 2019. Ini adalah lanjutan kepada warkah daripada YAB Perdana Menteri kepada pemangku Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 26 Disember 2018 yang lalu, atas perkara yang sama.
Sebagai salah satu negara yang telah menandatangani “the Final Act of the United Nations Diplomatic Conference of Plenipotentiaries on the Establishment of an International Criminal Court” pada 17 Julai 1998 bagi penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court ICC), Malaysia berpegang kepada prinsip bahawa jenayah-jenayah serius seperti yang termaktub dalam Artikel 5 Statut Rome iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan, adalah jenayah yang tidak dapat diterima oleh seluruh masyarakat antarabangsa di mana pelaku yang terlibat harus dibawa ke muka pengadilan.
ICC berpegang kepada prinsip complementarity di mana Artikel 17 Statut Rome memperuntukkan bahawa sesuatu kes jenayah antarabangsa hanya akan disiasat atau didakwa di ICC sekiranya sesebuah Negara Pihak, di atas sebab-sebab tertentu, tidak berkemahuan atau tidak berkemampuan (unwilling or unable) untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan sesuatu jenayah antarabangsa. Dalam erti kata lain, ianya merupakan mahkamah pilihan terakhir (court of last resort).
Sehingga 4 Mac 2019, sebanyak 124 negara telah menjadi Negara Pihak kepada Statut Rome. Hakikatnya, jumlah Negara Pihak adalah lebih tinggi daripada bilangan negara yang bukan Negara Pihak. Di kalangan negara-negara pihak ini terdapat negara-negara yang mempunyai sistem raja berperlembagaan seperti Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Belanda, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.
PUTRAJAYA
10 Mac 2019