SAMBUTAN HARI ASEAN KE-57 “CONNECTIVITY AND RESILIENT COMMUNITY” 8 OGOS 2024
SAMBUTAN HARI ASEAN KE-57
“CONNECTIVITY AND RESILIENT COMMUNITY”
8 OGOS 2024
Kementerian Luar Negeri telah menganjurkan sambutan Hari ASEAN ke-57 dengan kerjasama AirAsia pada 8 Ogos 2024 bertempat di AirAsia RedQ, Sepang. Sambutan ulang tahun ini membawa tema “Connectivity and Resilience”, menumpukan kepada kekuatan dalam perpaduan dan kepelbagaian, pengalaman-pengalaman bersama dan halatuju ASEAN dalam menangani cabaran-cabaran semasa dan masa hadapan. Tema tersebut adalah selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN-Lao PDR 2024 iaitu “ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience”.
Kerjasama antara Kementerian Luar Negeri dengan AirAsia untuk sambutan Hari ASEAN tahun ini adalah tepat pada masanya dan sangat signifikan. Ia mencerminkan visi bersama ASEAN tanpa sempadan, meningkatkan kesalinghubungan di seluruh rantau ini dan menggalakkan perpaduan yang lebih erat dalam ASEAN.
Sambutan Hari ASEAN ke-57 dirasmikan oleh YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri dan melibatkan penyertaan wakil-wakil dari Kementerian-kementerian dan Agensi-agensi kerajaan, Perwakilan-perwakilan Diplomatik Negara-negara Anggota ASEAN dan Rakan Luar ASEAN, Organisasi Antarabangsa, sektor swasta, dan media di Malaysia. Beberapa perwakilan-perwakilan asing daripada Negara-negara Anggota ASEAN turut memberi persembahan kebudayaan selain daripada mempamerkan kraftangan dan produk masing-masing bersama anak-anak syarikat AirAsia dan ASEAN Ladies’ Circle (ALC).
PUTRAJAYA
8 Ogos 2024