PROGRAM KHUSUS SEMPENA MEMPROMOSIKAN DIPLOMASI BAHASA DAN BUDAYA KE REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN 27 SEPTEMBER – 2 OKTOBER 2022
PROGRAM KHUSUS
SEMPENA MEMPROMOSIKAN DIPLOMASI BAHASA DAN BUDAYA
KE REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN
27 SEPTEMBER – 2 OKTOBER 2022
YB Dato' Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri, akan mengadakan lawatan ke Jerman sempena Program Khas Mempromosikan Diplomasi Bahasa dan Budaya mulai 27 September hingga 2 Oktober 2022. YB Menteri Luar Negeri akan diiringi oleh pegawai-pegawai daripada Kementerian Luar Negeri serta dua (2) orang ahli akademik terkemuka daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Program khusus di Jerman ini akan memberi peluang kepada YB Menteri Luar Negeri untuk bertemu rakan sejawatnya, menyertai rundingan meja bulat bertajuk “Peaceful Coexistence in the Post-Pandemic Era” serta siri syarahan bertajuk “Social Cohesion: Moving Beyond the Frame of Conflict and Consensus” di Berlin dan Frankfurt. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin dan Profesor Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff daripada UKM akan terlilbat dalam rundingan meja bulat dan siri syarahan di kedua-dua buah bandar tersebut. Program ini juga dijangka akan menyediakan ruang bagi mempromosikan bidang keutamaan dasar luar Malaysia mengenai Diplomasi Budaya (Cultural Diplomacy) dan Falsafah Hidup Bersama Dalam Budaya Damai (Peaceful Coexistence).
Semasa lawatan pertama ke Berlin pada 28-29 September 2022, YB Menteri Luar akan bertemu dengan Puan Yang Terutama Annalena Baerbock, Menteri Luar Jerman bagi meneliti perkembangan kemajuan pelbagai kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua buah negara. Pertemuan ini juga akan memberi ruang kepada kedua-dua orang Menteri untuk berbincang serta bertukar-tukar pandangan berhubung falsafah Hidup Bersama Dalam Budaya Damai (Peaceful Coexistence), kerjasama dalam bidang kebudayaan, kerjasama ASEAN serta isu-isu antara rantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Seterusnya, YB Menteri Luar Negeri akan mengambil bahagian dalam rundingan meja bulat di Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik Eropah (IISS). Beliau turut dijadualkan menyampaikan ucaptama pada siri syarahan di Institut Diplomasi Kebudayaan (ICD), Berlin.
Dalam lawatan kedua ke Frankfurt pada 30 September-1 Oktober 2022, YB Menteri Luar akan mengambil bahagian dalam rundingan meja bulat di Institut Penyelidikan Keamanan Frankfurt (PRIF). Beliau juga dijadual berucap pada siri syarahan di Romanfabrik, sebuah pusat kebudayaan terkemuka yang sering menjadi tuan rumah kepada ramai personaliti. Dalam sesi berasingan, YB Menteri Luar Negeri akan menyertai Majlis Makan Malam Gala anjuran Kerajaan Negeri Sarawak dan Malaysian Club Deutschland (MCD) sempena Ulang Tahun ke-65 Hubungan Dua Hala Malaysia-Jerman.
Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia di kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (European Union) sejak 2005. Pada tahun 2021, jumlah dagangan dua hala direkodkan sebanyak RM53.95 bilion (USD13.02 bilion) berbanding RM47.92 bilion (USD11.42 bilion) pada tahun 2020. Imbangan dagangan terus memihak kepada Malaysia.
PUTRAJAYA
28 September 2022