PERTEMUAN PEMIMPIN-PEMIMPIN ASEAN PADA 24 APRIL 2021
PERTEMUAN PEMIMPIN-PEMIMPIN ASEAN PADA 24 APRIL 2021
Atas jemputan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku Pengerusi ASEAN 2021, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia akan menghadiri Pertemuan Pemimpin-pemimpin ASEAN pada 24 April 2021 di Sekretariat ASEAN, Jakarta, Indonesia.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Negeri, dan delegasi kecil yang terdiri daripada Pegawai-pegawai Kanan Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.
Pertemuan ini akan disertai oleh para Pemimpin ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN dan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dari Myanmar. Para Pemimpin akan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau. Perkembangan situasi di Myanmar dijangka akan menjadi tumpuan perbincangan di pertemuan ini.
Malaysia menyokong sepenuhnya usaha-usaha Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN 2021 untuk menganjurkan Pertemuan Pemimpin-pemimpin ASEAN dalam menentukan hala tuju dan masa depan ASEAN, selari dengan prinsip-prinsip ASEAN seperti Kepaksian ASEAN (ASEAN Centrality); dan dalam usaha untuk melindungi kesejahteraan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Delegasi ini juga tertakluk kepada Prosidur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ketat seperti yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Indonesia. SOP ini, antara lain, termasuk:
a. Diwajibkan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum berlepas ke Indonesia. Hanya individu yang disahkan negatif COVID-19 dalam tempoh 72
jam sebelum berlepas sahaja dibenarkan mengikuti delegasi ini.
b. Menggunakan pesawat khas bagi mewujudkan travel bubble ke Indonesia.
c. Diwajibkan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebaik sahaja tiba di Indonesia.
d. Hanya dibenarkan berada di hotel penginapan dan tempat-tempat yang telah ditentukan sepanjang Pertemuan Pemimpin-pemimpin ASEAN.
e. Tertakluk kepada SOP pencegahan COVID-19 yang ketat seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan lain-lain, semasa berada di
Indonesia seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Indonesia.
f. Menjalani kuarantin wajib sebaik sahaja pulang ke Malaysia seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
PUTRAJAYA
23 APRIL 2021