PERSIDANGAN KETUA-KETUA NEGARA/KERAJAAN KOMANWEL KE-27, SAMOA 24-26 OKTOBER 2024
PERSIDANGAN KETUA-KETUA NEGARA/KERAJAAN KOMANWEL KE-27, SAMOA
24-26 OKTOBER 2024
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri akan mewakili YAB Perdana Menteri ke Persidangan Ketua-Ketua Negara/Kerajaan Komanwel Ke-27 (CHOGM 2024) dari 24 hingga 26 Oktober 2024 di Apia, Samoa.
CHOGM 2024, yang bertemakan, “One Resilient Common Future: Transforming Our Common Wealth”, akan dihadiri oleh Ketua-Ketua Negara/Kerajaan dan Menteri-Menteri dari 56 Negara Anggota Komanwel.
Mengambilkira cabaran global di masa kini, perbincangan akan memfokuskan kepada politik global dan pembangunan ekonomi; tadbir urus baik; kedaulatan undang-undang; hak asasi manusia; kelestarian; perubahan iklim dan pembangunan sosio-ekonomi. Dua dokumen hasil yang akan diluluskan, iaitu CHOGM Communiqué dan Commonwealth Ocean Declaration, akan menggariskan keutamaan dan komitmen Komanwel dalam perkara-perkara tersebut, termasuk juga isu pemerkasaan wanita; belia; alam sekitar; pendidikan; kesihatan; teknologi dan inovasi; dan biodiversiti lautan.
YB Menteri Luar Negeri akan mengetengahkan kepentingan mengukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan; pembangunan sosio-ekonomi; dan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang Matlamat Pembangunan Mampan; tindakan dan penyesuaian iklim; teknologi dan inovasi, dan peralihan tenaga.
Perbincangan YB Menteri Luar Negeri dengan rakan-rakan sejawatan juga akan tertumpu kepada pengukuhan Kerjasama Selatan-Selatan dan merapatkan jurang pembangunan di samping isu-isu serantau dan global, serta isu-isu dua hala berkepentingan bersama.
Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) kekal sebagai platform penting untuk Malaysia menyalurkan bantuan teknikal dan pembinaan keupayaan di kalangan Negara-Negara Membangun. Selain itu, sebagai usaha mengukuhkan keupayaan, Malaysia juga menyumbang kepada Tabung Kerjasama Teknikal Komanwel.
Sebagai anggota Komanwel sejak 1957, Malaysia akan terus mempromosi prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang termaktub dalam Piagam Komanwel dan mengukuhkan kerjasama antara Negara-Negara Anggota.
PUTRAJAYA
24 Oktober 2024