PERSIDANGAN KAHERAH PERINGKAT MENTERI UNTUK MEMPERTINGKATKAN RESPONS KEMANUSIAAN DI GAZA “SETAHUN SELEPAS BENCANA KEMANUSIAAN DI GAZA: KEPERLUAN YANG MENDESAK, PENYELESAIAN BERKEKALAN” 2 DISEMBER 2024
PERSIDANGAN KAHERAH PERINGKAT MENTERI UNTUK MEMPERTINGKATKAN
RESPONS KEMANUSIAAN DI GAZA “SETAHUN SELEPAS BENCANA KEMANUSIAAN DI
GAZA: KEPERLUAN YANG MENDESAK, PENYELESAIAN BERKEKALAN”
2 DISEMBER 2024
YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri, akan menyertai Persidangan Kaherah Peringkat Menteri untuk Mempertingkatkan Respons Kemanusiaan di Gaza “Setahun Selepas Bencana Kemanusiaan di Gaza: Keperluan Yang Mendesak, Penyelesaian Berkekalan”, di Kaherah, Republik Arab Mesir pada 2 Disember 2024.
Persidangan Peringkat Menteri tersebut akan dianjurkan secara bersama oleh Tuan Yang Terutama Abdel Fattah El-Sisi, Presiden Republik Arab Mesir dan Tuan Yang Terutama Antonio Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Persidangan ini akan menghimpunkan negara-negara anggota PBB, wakil-wakil agensi dibawah naungan PBB, organisasi serantau dan antarabangsa serta pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil bagi menangani krisis kemanusiaan di Gaza akibat operasi ketenteraan rejim Zionis Israel yang berterusan.
YB Timbalan Menteri Luar Negeri akan menzahirkan kenyataan Malaysia dengan penekanan ke atas keperluan mendesak untuk tindakan global yang tegas, dan tumpuan kepada akses bantuan kemanusiaan, gesaan gencatan senjata yang segera dan kekal serta sokongan usaha damai yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah Negara berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. Pada masa yang sama, beliau juga akan menzahirkan sokongan dan sumbangan berterusan Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
Penyertaan Malaysia ke persidangan tersebut menegaskan komitmen negara yang teguh terhadap perjuangan Palestin dan usaha Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara yang sehaluan dalam memperjuangkan keamanan yang berpanjangan di Timur Tengah yang seterusnya melangkaui rantau tersebut.
PUTRAJAYA
1 Disember 2024