PERKEMBANGAN TERKINI WARGANEGARA MALAYSIA YANG DISELAMATKAN SEMASA OPERASI SERBUAN KE ATAS PHILIPPINE OFFSHORE GAMING OPERATOR (POGO) OLEH POLIS FILIPINA
PERKEMBANGAN TERKINI WARGANEGARA MALAYSIA YANG DISELAMATKAN SEMASA OPERASI SERBUAN KE ATAS PHILIPPINE OFFSHORE GAMING OPERATOR (POGO) OLEH POLIS FILIPINA
Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Manila telah berjaya mengenalpasti 127 warganegara Malaysia daripada sejumlah 134 orang mangsa yang dipercayai warganegara Malaysia. Kesemua mangsa telah diselamatkan oleh polis Filipina semasa operasi serbuan ke atas Philippine Offshore Gaming Operator (POGO) pada 27 Jun 2023.
Pihak berkuasa tempatan Filipina akan memulakan proses deportasi ke atas semua mangsa setelah proses siasatan dan dokumentasi selesai. Untuk maksud ini, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila akan memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi menghantar pulang kesemua mangsa ke Malaysia dalam masa terdekat.
Hasil lawatan konsular yang telah diadakan ke atas mangsa-mangsa warganegara Malaysia mendapati kesemua mangsa berada dalam keadaan baik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu logistik dan kebajikan yang sedang diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kesemua mangsa warganegara Malaysia berada dalam keadaan terbaik.
Sebarang maklumat terkini berkaitan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa
PUTRAJAYA
30 Jun 2023