PERKEMBANGAN TERKINI URUSAN MEMBAWA PULANG JENAZAH PENDAKI DAN PENCARIAN PENDAKI YANG HILANG DALAM MISI MALAYSIA EVEREST 2023
PERKEMBANGAN TERKINI URUSAN MEMBAWA PULANG JENAZAH PENDAKI
DAN PENCARIAN PENDAKI YANG HILANG DALAM
MISI MALAYSIA EVEREST 2023
Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham Leftenan Kolonel Ag Askandar Ampuan Yaacub, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah telah selamat tiba di TU Teaching Hospital, Kathmandu pada pukul 4.40 petang (waktu tempatan) pada hari Rabu, 24 Mei 2023 untuk proses bedah siasat dan urusan dokumentasi.
Encik Mohd Fadzle bin Abu Hasan, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu berada di hospital untuk menyambut ketibaan jenazah serta membantu melancarkan proses pengurusan jenazah. Proses bedah siasat dan urusan dokumentasi dijangka akan mengambil masa selama dua (2) hari. Sekiranya semua proses berjalan lancar, jenazah dijangka tiba di tanah air selewat-lewatnya pada hari Sabtu, 27 Mei 2023.
Pada masa yang sama, Kementerian ini juga ingin memaklumkan bahawa proses mencari dan menyelamat (SAR) Encik Muhammad Hawari Hashim masih sedang dijalankan oleh pihak pasukan penyelamat tempatan. Kerajaan Malaysia juga telah mengumumkan sumbangan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi misi mencari dan menyelamat ini.
Kementerian ini melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan proses membawa pulang jenazah dan pencarian pendaki Misi Malaysia Everest 2023 yang masih hilang berjalan lancar.
Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
PUTRAJAYA
24 Mei 2023