PERKEMBANGAN TERKINI MENGENAI WARGANEGARA MALAYSIA YANG MENJADI MANGSA PEMERDAGANGAN MANUSIA SINDIKET MACAU SCAM DISELAMATKAN OLEH POLIS REPUBLIK PERU
PERKEMBANGAN TERKINI MENGENAI WARGANEGARA MALAYSIA YANG MENJADI MANGSA PEMERDAGANGAN MANUSIA SINDIKET MACAU SCAM DISELAMATKAN OLEH POLIS REPUBLIK PERU
Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa kumpulan pertama seramai tiga (3) orang mangsa pemerdagangan manusia oleh Sindiket Macau Scam yang diselamatkan oleh pihak Polis Republik Peru sejak 7 Oktober 2023 telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada hari Khamis, 26 Oktober 2023, pukul 1.36 petang melalui penerbangan KLM Royal Dutch Airlines KL 805.
Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru akan menyelaras urusan penghantaran pulang baki seramai 37 orang mangsa lain yang dijadualkan tiba di tanah air secara berkumpulan pada 28, 29, 30 Oktober dan 1 November 2023. Dalam masa yang sama, tiga (3) orang warganegara Malaysia masih ditahan oleh Pihak Berkuasa Peru untuk proses siasatan lanjut berdasarkan undang-undang tempatan.
Kementerian Luar Negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Peru atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam usaha menyelamatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa Sindiket Macau Scam ini dan mempercepatkan proses penghantaran pulang mangsa ke Malaysia.
Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru akan terus memantau perkembangan kes ini dan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.
PUTRAJAYA
26 Oktober 2023