PERKEMBANGAN TERKINI KEADAAN SEMASA KONTINJEN MALAYSIA KE ‘25TH WORLD SCOUT JAMBOREE’ DI SAEMANGEUM, REPUBLIK KOREA
PERKEMBANGAN TERKINI KEADAAN SEMASA KONTINJEN MALAYSIA KE ‘25TH
WORLD SCOUT JAMBOREE’ DI SAEMANGEUM, REPUBLIK KOREA
Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Seoul ingin memaklumkan bahawa sehingga jam 7 malam (waktu tempatan), seramai 474 ahli kontinjen Malaysia yang sedang menyertai 25th World Scout Jamboree (dari 1 hingga 12 Ogos 2023) kini dalam proses penempatan semula ke dua kawasan yang berasingan di Republik Korea iaitu di Korea National University of Agriculture and Fisheries dan Jeonbuk National University di Jeonju-si, Jeollabuk-do.
Kedutaan Besar Malaysia di Seoul sedang memantau secara rapi proses tersebut dengan berhubung secara langsung dengan wakil kontinjen Malaysia dan pihak penganjur bagi mendapatkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Pada 7 Ogos 2023, Kementerian Luar Negeri Republik Korea semasa sesi penerangan kepada kor diplomatik telah memaklumkan bahawa Kerajaan Republik Korea akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan, perubatan dan sajian untuk kesemua peserta Jamboree. Kerajaan Republik Korea juga memberi jaminan akan merombak semula program Jamboree dan akan menyelaraskan pelaksanaannya mengikut kesesuaian tapak baharu yang telah dipilih bagi memastikan objektif penganjuran Jamboree tersebut tercapai.
Sebarang perkembangan terkini berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
PUTRAJAYA
8 Ogos 2023