PERKEMBANGAN TERKINI DUA (2) ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI MYANMAR
PERKEMBANGAN TERKINI DUA (2) ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI MYANMAR
Kementerian Luar Negeri (KLN) mengambil maklum tentang video yang telah dimuat naik oleh Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) mengenai dua (2) orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di sempadan Thailand-Myanmar baru-baru ini.
Kementerian ini mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa tersebut telah berjaya diselamatkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa Thailand. Kedua-dua mangsa kini sedang melalui proses siasatan dan perundangan sewajarnya di negara itu sebelum dihantar pulang ke tanah air. Dalam hal ini, Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok akan terus memantau perkara ini bagi memastikan semua mangsa pulang ke Malaysia dengan segera.
KLN memandang serius isu ini dan Kementerian melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia memberikan bantuan sewajarnya bagi membantu mereka yang menjadi mangsa sindiket.
Dalam masa yang sama, warganegara Malaysia adalah dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran-tawaran pekerjaan di luar negara, terutama sekali yang diterima secara dalam talian atau menerusi platform media sosial. Orang ramai turut dinasihatkan supaya berhubung terus dengan Perwakilan Malaysia di negara yang berkenaan sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung tawaran kerja yang diterima, dan melaporkan dengan segera kepada pihak PDRM dan KLN sekiranya terdapat ahli keluarga yang disyaki menjadi mangsa sindiket ini.
PUTRAJAYA
16 Disember 2022