PENYERTAAN YAB MENTERI BESAR KEDAH DI DALAM LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE SADAO, THAILAND, PADA 27 NOVEMBER 2023
PENYERTAAN YAB MENTERI BESAR KEDAH DI DALAM LAWATAN KERJA
YAB PERDANA MENTERI KE SADAO, THAILAND, PADA 27 NOVEMBER 2023
Kementerian Luar Negeri ingin merujuk kepada kenyataan YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor, Menteri Besar Kedah, semasa Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada 29 November 2023 mengenai ketiadaan kerusi bagi beliau semasa mesyuarat pre-council bersama YAB Perdana Menteri di Hotel Raia, Alor Setar yang diadakan sebelum bermulanya Lawatan Kerja YAB Perdana Menteri ke Sadao, Thailand pada 27 November 2023.
Kementerian Luar Negeri ingin menjelaskan bahawa melalui surat bertarikh 25 November 2023 daripada Kementerian ini kepada Ketua Setiausaha Sulit YAB Menteri Besar Kedah, YAB Menteri Besar Kedah telah dijemput untuk menyertai program lawatan YAB Perdana Menteri bersama TYT Perdana Menteri Thailand ke ICQS Bukit Kayu Hitam yang dijadualkan pada jam 2.15 petang pada 27 November 2023. Jemputan ini adalah berdasarkan kesesuaian penglibatan beliau di dalam program berkenaan.
YAB Menteri Besar Kedah tidak terlibat dalam mesyuarat pre-council bersama YAB Perdana Menteri dan surat bertarikh 25 November 2023 tidak menyebut tentang mesyuarat pre-council ini. Apabila YAB Menteri Besar Kedah mengambil keputusan untuk turut hadir ke mesyuarat pre-council ini, YAB Perdana Menteri telah menyediakan kerusi untuk beliau.
YAB Menteri Besar Kedah juga tidak terlibat dalam lawatan ke Sadao, Thailand. Tetapi bagi memenuhi permintaan beliau di saat akhir, YAB Perdana Menteri telah bersetuju mengizinkan beliau menyertai delegasi rasmi YAB Perdana Menteri.
Kenyataan ini dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenarnya iaitu Kementerian Luar Negeri dan YAB Perdana Menteri telah memberikan pertimbangan khas kepada YAB Menteri Besar Kedah.
PUTRAJAYA
1 Disember 2023