PENGLIBATAN BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO) DALAM PENYALURAN BANTUAN KEMANUSIAAN KEPADA MANGSA GEMPA BUMI DI REPUBLIK TURKIYE DAN SYRIA
PENGLIBATAN BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO) DALAM PENYALURAN BANTUAN KEMANUSIAAN KEPADA MANGSA GEMPA BUMI DI REPUBLIK TURKIYE DAN SYRIA
Kementerian Luar Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Malaysia mengalu-alukan penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk terlibat dalam misi penyaluran bantuan kemanusiaan ke Turkiye dan Syria.
Pada 8 Februari 2023, Kementerian Luar Negeri telah mengadakan perbincangan bersama 28 NGO Malaysia yang menyatakan hasrat untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria. Ini bertujuan memberi penerangan berhubung situasi semasa di lapangan terkesan serta menyelaras penyaluran bantuan kemanusiaan secara teratur dan selamat.
Semua pihak NGO yang ingin menyampaikan bantuan ke Turkiye dan Syria diminta untuk berdaftar dengan NADMA melalui emel spks@nadma.gov.my bagi tujuan penyelarasan. Bagi pihak yang ingin menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Turkiye, maklumat butiran delegasi serta senarai bantuan dan peralatan yang ingin dibawa masuk juga perlu dimaklumkan melalui emel tersebut.
“Tabung Bencana Gempa Bumi di Turkiye dan Syria” di bawah seliaan Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) akan dilancarkan dalam masa terdekat untuk menerima sumbangan orang awam kepada mangsa-mangsa bencana ini.
PUTRAJAYA
8 Februari 2023