PENGHANTARAN JENAZAH LEFTENAN KOLONEL AG ASKANDAR AMPUAN YAACUB PENDAKI MISI MALAYSIA EVEREST 2023 KE SABAH
PENGHANTARAN JENAZAH LEFTENAN KOLONEL AG ASKANDAR AMPUAN YAACUB PENDAKI MISI MALAYSIA EVEREST 2023 KE SABAH
Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham Leftenan Kolonel Ag Askandar Ampuan Yaacub, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines (MH 2646). Penerbangan tersebut telah berlepas pada pukul 11.32 pagi, 27 Mei 2023 (Sabtu) dan dijangka tiba di KKIA pada pukul 2.05 petang. Sebelum itu, jenazah telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kathmandu, Nepal pada pukul 7.15 pagi menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MH115).
Ketibaan jenazah di KKIA akan disambut oleh YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri bersama pegawai dari Pejabat Wilayah Sabah dan Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri. Solat jenazah akan dilaksanakan di Masjid Jamek As-Salam, Kg. Benoni, Papar dan jenazah kemudiannya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Kg. Benoni.
Kementerian ini ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Leftenan Kolonel Ag Askandar Ampuan Yaacub dan berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Kementerian ini juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Nepal, pihak berkuasa tempatan Nepal, penyumbang dana dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan bantuan dalam urusan membawa pulang jenazah sehingga ke tempat persemadian terakhir di Sabah.
PUTRAJAYA
27 Mei 2023