PENGHANTARAN DUA BUAH PESAWAT A400M MEMBAWA BARANG-BARANG BANTUAN KEMANUSIAAN KE SYRIA
PENGHANTARAN DUA BUAH PESAWAT A400M MEMBAWA BARANG-BARANG BANTUAN KEMANUSIAAN KE SYRIA
Hasil sumbangan ikhlas dan keprihatinan masyarakat Malaysia, sebanyak 42 tan sumbangan barang-barang bantuan kemanusiaan di Syria telah berjaya dikumpulkan sejak 15 Februari 2023. Ia hasil maklum balas daripada Pasukan Peninjau yang telah tiba di Damsyik, Syria pada 14 Februari 2023. Antara barang-barang yang berjaya dikumpulkan bagi membantu mangsa yang terkesan dengan gempa bumi di Syria adalah:
(i) makanan siap sedia untuk dimakan (Ready-to-Eat);
(ii) barangan keperluan bayi;
(iii) bekalan ubat-ubatan
(iv) empat buah generator;
(v) pakaian & selimut;
(vi) kelengkapan perlindungan diri (personal protective equipment); dan
(vii) khemah, karpet dan indoor separators.
Hasrat murni rakyat Malaysia ini akan disempurnakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah diarah oleh Kerajaan untuk mengatur gerak dua buah pesawat A400M. Penerbangan khas ini akan turut melibatkan 51 kru dan wakil-wakil Kementerian serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) akan berlepas pada jam 10.00 malam dari Pangkalan Tentera Udara di Subang pada 18 Februari 2023.
Penerbangan ke Syria ini akan mengambil masa selama 17 jam 30 minit melalui ruang udara beberapa buah negara dan dua persinggahan teknikal. Pesawat A400M ini dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik di sebelah tengah hari pada 19 Februari 2023.
Sekalung penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyahut seruan untuk menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Syria. Kerjasama erat antara Agensi-Agensi Kerajaan daripada Kementerian Luar Negeri, NADMA, ATM, PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia serta NGO-NGO sejak 15 Februari 2023 telah memastikan usaha pengumpulan dan penghantaran barang-barang ini berjalan dengan lancar dan teratur. Antara NGO yang turut menjayakan misi ini adalah PBSM, MERCY Malaysia, BeVital Ihsan Johor, RED A Humanitarian, Malaysia For Syria, Global Peace Mission, MAHAR, MCRD, Shine Catholic Church, Yemeni School Foundation dan Syrian People Malaysia.
Rakyat Malaysia yang masih ingin memberikan sumbangan secara tunai kepada mangsamangsa gempa bumi di Syria, boleh berbuat demikian melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) sehingga 23 Februari 2023. Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit, sila nyatakan butiran sumbangan anda melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen. Butiran maklumat mengenai TBKLN adalah seperti berikut:
Nama Akaun : Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri
Nama Bank : Affin Islamic Bank Berhad, Cawangan Putrajaya
Nombor Akaun : 1054 9000 0599

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai Tabung ini boleh dimajukan kepada pihak Sekretariat TBKLN (tbkln@kln.gov.my). Sumbangan yang dibuat adalah layak untuk mendapatkan pengecualian cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
PUTRAJAYA
18 Februari 2023