PENGHANTARAN BARANGAN BANTUAN KEMANUSIAAN KE PALESTIN
PENGHANTARAN BARANGAN BANTUAN KEMANUSIAAN KE PALESTIN
Kementerian Luar Negeri (KLN) mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menyalurkan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Setakat 28 Oktober 2023, jumlah yang telah diterima oleh pihak AAKRP adalah RM23 juta. Ia termasuk dana yang telah diterima daripada syarikat korporat yang menjanjikan sumbangan sewaktu Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung AAKRP pada 19 Oktober 2023 di Sri Perdana.
Penghantaran barangan bantuan kemanusiaan ke Gaza perlu mendapat kelulusan Kerajaan Mesir terlebih dahulu sebelum diurus oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, sebagai agensi pelaksana tunggal bagi menguruskan penghantaran melalui pintu masuk sempadan Rafah-Gaza.
Dalam perkembangan berkaitan, 50 tan barangan utama bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza dengan nilai RM7 juta telah siap sedia untuk dihantar ke Gaza melalui Mesir. Barangan ini dikumpul melalui kempen Ops Ihsan oleh lebih 40 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan pada 21 dan 22 Oktober lalu.
Penghantaran pertama barangan kemanusiaan ini dijadual dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al Arish melalui penerbangan kargo sewaan khas pada 3 November 2023 atas pembiayaan Kerajaan Malaysia. Penghantaran seterusnya adalah melalui laut dan akan digerak sebaik mendapat butiran terkini dari lapangan oleh Pasukan Ops Ihsan ke bandar Ismaliyah, Mesir dalam masa terdekat
Berikutan jumlah sumbangan yang tinggi masuk ke dalam akaun AAKRP, pengeluaran resit rasmi sumbangan melalui AAKRP ini akan mengambil sedikit masa.
Sumbangan tunai boleh disalur melalui AAKRP melaluipautan https://shorturl.at/begq8 atau mengimbas kod QR di bawah.
BUTIRAN AKAUN
![]() | No Akaun : 86-0030248-9 Bank : CIMB Islamic Bank Berhad Nama Akaun : Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin |
Sumbangan yang dibuat melalui AAKRP adalah layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
PUTRAJAYA
28 Oktober 2023
