PENERIMAAN MEMORANDUM DARIPADA PERTUBUHAN KEMANUSIAAN MASYARAKAT ANTARABANGSA MALAYSIA
PENERIMAAN MEMORANDUM DARIPADA PERTUBUHAN KEMANUSIAAN MASYARAKAT ANTARABANGSA MALAYSIA
Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan penerimaan memorandum daripada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang memohon Kerajaan Malaysia untuk membantu tiga (3) orang warganegara Malaysia yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup (maksimum 30 tahun) atas kesalahan menyeludup 45 kilogram emas ke Bangladesh pada tahun 2015.
Ketiga-tiga mereka telah melalui proses mahkamah dan dijatuhkan hukuman pada tahun 2018. Selain daripada mereka, terdapat tiga (3) orang lagi warganegara Malaysia yang sedang menjalani hukuman penjara di Bangladesh atas kesalahan yang sama. Kesalahan penyeludupan emas di Bangladesh merupakan kesalahan berat yang boleh dijatuhkan hukuman mati.
KLN melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sentiasa memberi perhatian serius dan memantau rapat perkembangan kes ini. Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh telah mengadakan siri-siri pertemuan dengan para tahanan warganegara Malaysia tersebut untuk menghulurkan bantuan konsular dan mengadakan perbincangan dengan pihak peguam yang dilantik dalam usaha membantu mereka sewajarnya. Selain itu, pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga telah mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dalam mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkuasa Bangladesh, termasuk melalui pertemuan peringkat tinggi dengan pihak Kerajaan negara itu ke arah membantu serta mencari jalan penyelesaian terbaik ke atas kes ini.
Kerajaan Malaysia memandang serius isu keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia yang berada di luar negara, termasuk mereka yang berada dalam tahanan. Pada masa yang sama, dasar Kerajaan Malaysia adalah sentiasa menghormati sistem perundangan dan kedaulatan undang-undang negara lain. Justeru, KLN ingin menasihati warganegara Malaysia yang berada di negara asing untuk sentiasa peka dan menghormati undang-undang negara berkenaan serta tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara tersebut.
PUTRAJAYA
9 Disember 2022