PEMAKLUMAN TERKINI MENGENAI TABUNG AKAUN AMANAH KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN (AAKRP)
PEMAKLUMAN TERKINI MENGENAI TABUNG AKAUN AMANAH KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN (AAKRP)
Adalah dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan Malaysia telah bersetuju dengan permohonan Kementerian Luar Negeri bagi kelonggaran pembuktian sumbangan ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP). Selain resit rasmi Kerajaan, dokumen-dokumen yang dijana melalui perbankan elektronik juga akan diterima pakai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia bagi tujuan menuntut potongan cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 ke atas sumbangan yang dibuat kepada AAKRP.
Dokumen pembuktian sumbangan yang dibenarkan adalah merujuk kepada dokumen yang dijana daripada transaksi sumbangan melalui perbankan elektronik seperti berikut:
i. Mesin deposit tunai;
ii. Mesin Automated Teller (ATM);
iii. Mesin Deposit Cek;
iv. Tunai/Cek/Bank Draf melalui kaunter Bank CIMB;
v. Pindahan tunai secara elektronik melalui e-dompet;
vi. Pindahan wang tunai melalui Interbank Giro;
vii. Telegraphic Transfer; dan
viii. Real Time Electronic Fund and Securities System (RENTAS).
Kelonggaran dokumen pembuktian bagi tujuan potongan cukai ke atas sumbangan kepada AAKRP ini adalah bagi tempoh 9 Oktober 2023 sehingga AAKRP ditutup. Sehubungan dengan itu, para penyumbang hendaklah menyimpan bukti transaksi sumbangan seperti di atas, selaras dengan keperluan di bawah Seksyen 82(A) ACP 1967.
Kementerian Luar Negeri menzahirkan setinggi – tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia yang telah menyumbang untuk membantu rakyat Palestin melalui AAKRP.
PUTRAJAYA
28 November 2023