PELANTIKAN WAKIL TETAP MALAYSIA KE PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) DI NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT DAN WAKIL TETAP MALAYSIA KE PERTUBUHAN NEGARA-NEGARA ASIA TENGGARA (ASEAN) DI JAKARTA, INDONESIA
PELANTIKAN WAKIL TETAP MALAYSIA KE PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA
BERSATU (PBB) DI NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT DAN WAKIL TETAP
MALAYSIA KE PERTUBUHAN NEGARA-NEGARA ASIA TENGGARA (ASEAN)
DI JAKARTA, INDONESIA
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Luar Negeri telah menyerahkan surat pelantikan kepada Dato’ Dr. Ahmad Faisal Muhamad sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat, dan kepada Ambassador Nur Izzah Wong Mee Choo sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta, Indonesia di Wisma Putra pada hari ini.
Dato’ Dr. Ahmad Faisal Muhamad
Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York, Amerika Syarikat
Dato’ Dr. Ahmad Faisal berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari London School of Economics and Political Science di United Kingdom. Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1994. Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Switzerland sejak tahun 2019.
Selain pernah berkhidmat di pejabat-pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di Singapura dan Moscow, Rusia, Dato’ Dr. Ahmad Faisal pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Myanmar (2011-2014). Beliau juga pernah memegang jawatan Penasihat/Pengarah di Bahagian Hubungan Antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri (2014-2018).
Di peringkat Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, Setiausaha Bahagian Penyelidikan, Triti dan Perundangan Antarabangsa, Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia dan Pegawai Khas kepada Ketua Setiausaha.
Ambassador Nur Izzah Wong Mee Choo
Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Indonesia
Ambassador Nur Izzah berkelulusan sarjana dalam bidang Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1996. Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand sejak tahun 2018 dan ditauliahkan serentak ke Cook Islands dan Samoa.
Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian Inspektorat dan ditugaskan di Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala, Bahagian Asia Timur dan Asia Selatan, Bahagian Penerangan dan Bahagian ASEAN. Beliau juga pernah berkhidmat di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Republik Rakyat China.
PUTRAJAYA
14 Februari 2023