PELANTIKAN RAKYAT MALAYSIA KE SCIENTIFIC ADVISORY BOARD (SAB) PERTUBUHAN LARANGAN SENJATA KIMIA
PELANTIKAN RAKYAT MALAYSIA KE SCIENTIFIC ADVISORY BOARD (SAB) PERTUBUHAN
LARANGAN SENJATA KIMIA
Kementerian Luar Negeri dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan seorang rakyat Malaysia, Dr. Raja Subramaniam, sebagai Pakar dalam Scientific Advisory Board (SAB) bagi Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW).
Dr. Raja Subramaniam mempunyai lebih daripada 23 tahun kepakaran khusus dalam hal yang berkaitan dengan senjata kimia. Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Analisis Senjata Kimia daripada National Swedish Chemical, Biological, Radioactive and Nuclear (CBRN) Defence Research. Beliau kini sedang berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Pihak Berkuasa Kebangsaan Konvensyen Senjata Kimia (PBKKSK) di Kementerian Luar Negeri untuk penggal yang kedua.
SAB terdiri daripada 25 orang pakar dari kalangan Negara Anggota OPCW, yang berkhidmat atas kapasiti peribadi dalam memberikan nasihat khusus kepada Ketua Pengarah OPCW yang berpusat di The Hague, mengenai perkembangan saintifik dan teknologi yang berkaitan dengan pelaksanaan Konvensyen Senjata Kimia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. SAB bersidang setahun sekali atau mengikut keperluan seperti yang dikehendaki oleh Ketua Pengarah OPCW.
Dr. Raja akan memulakan perkhidmatan beliau sebagai Pakar SAB bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027. Beliau merupakan salah seorang daripada tujuh orang Pakar dari rantau Asia dalam SAB.
Kementerian Luar Negeri merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah OPCW dan masyarakat antarabangsa atas kepercayaan mereka terhadap komitmen Malaysia dalam usaha-usaha global ke arah penghapusan senjata kimia.
PUTRAJAYA
31 Disember 2024