PELANTIKAN DUTA BESAR MALAYSIA KE AMERIKA SYARIKAT YANG BAHARU
PELANTIKAN DUTA BESAR MALAYSIA KE AMERIKA SYARIKAT YANG BAHARU
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah mengampuni perkenan pelantikan YBhg. Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram bin Yaakob sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu dalam satu Majlis Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat di Istana Negara, pada hari ini. Majlis tersebut turut dihadiri YB Datuk Mohamad bin Haji Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri, dan YBhg. Dato’ Sri Amran bin Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri.
Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram bin Yaakob adalah anak kelahiran negeri Pahang dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi dari Universiti Malaya serta pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Amerika Syarikat. Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1988 dan menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dari 6 Januari 2019 hingga 31 Mei 2022. Sepanjang perkhidmatan selama kira-kira 35 tahun dalam perkhidmatan awam, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram pernah ditauliahkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar, Duta Besar Malaysia ke Austria dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat.
Semasa berkhidmat di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia (semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2015) dan Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala. Penugasan diplomatik beliau yang lain sebelum ini adalah termasuk di perwakilan Malaysia di Vienna, Austria; Washington D.C., Amerika Syarikat; dan Beijing, Republik Rakyat China.
PUTRAJAYA
3 Jun 2025