PELAKSANAAN HUKUMAN MATI KE ATAS TAHANAN WARGANEGARA MALAYSIA DI SINGAPURA
PELAKSANAAN HUKUMAN MATI KE ATAS TAHANAN WARGANEGARA MALAYSIA DI SINGAPURA
Kementerian Luar Negeri maklum akan pelaksanaan hukuman mati ke atas seorang tahanan warganegara Malaysia di Singapura, Encik Nagaenthran a/l K Dhamalingam yang akan dilaksanakan pada 10 November 2021. Beliau telah ditahan oleh pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72 gram dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.
Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat sehingga ke peringkat akhir iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden (Presidential Clemency). Walau bagaimanapun, permohonan tersebut telah ditolak pada 1 Jun 2020. Saya juga menerima surat daripada organisasi Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) melalui YB Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Petaling Jaya yang memaklumkan pelaksanaan hukuman tersebut serta memohon supaya Kementerian Luar Negeri membangkitkan kes ini dengan Kerajaan Singapura.
Sehubungan itu, saya telah mengutus surat kepada Menteri Luar Singapura berkenaan dengan kes ini. Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada Encik Nagaenthran serta keluarga beliau.
DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH
3 NOVEMBER 2021