OIC SEPAKAT DENGAN PENDIRIAN MALAYSIA MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA KEKEJAMAN BERTERUSAN REJIM ISRAEL KE ATAS RAKYAT PALESTIN DAN PENCEROBOHAN KEDAULATAN REPUBLIK ISLAM IRAN
OIC SEPAKAT DENGAN PENDIRIAN MALAYSIA MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA
KEKEJAMAN BERTERUSAN REJIM ISRAEL KE ATAS RAKYAT PALESTIN DAN
PENCEROBOHAN KEDAULATAN REPUBLIK ISLAM IRAN
Negara-Negara Anggota OIC sepakat dengan pendirian Malaysia untuk mengecam sekeras-kerasnya serangan dan kekejaman berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, dan pencerobohan serta ancaman Israel terhadap kedaulatan Iran.
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri telah menegaskan pendirian Negara semasa menghadiri Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Peringkat Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 7 Ogos 2024 di Jeddah, Arab Saudi.
YB Menteri Luar Negeri turut menggesa Negara-Negara Anggota OIC untuk tidak terperangkap dengan cubaan pihak-pihak tertentu, yang dilihat cuba menggagalkan proses rundingan damai di Gaza.
YB Menteri Luar juga telah mengusulkan supaya OIC melaksanakan perkara-perkara berikut:
(i) mewujudkan satu Kumpulan Pakar (Eminent Persons) bagi membantu menggerakkan tindakan susulan sewajarnya untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ);
(ii) menggesa PBB mengaktifkan semula Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Apartheid;
(iii) menerajui pelaksanaan (give effect) Pendapat Nasihat ICJ melalui Sesi Khas Tergempar Ke-10 (10th Emergency Special Session) berkenaan isu Palestin di Perhimpunan Agung PBB, bersama-sama dengan Negara-Negara Sepemikiran; dan
(iv) agar OIC memperluas sokongan untuk membantu membina semula ekonomi dan kehidupan rakyat Palestin, pasca konflik.
Penyertaan Malaysia di Mesyuarat tersebut adalah sebahagian daripada usaha-usaha berterusan dan komitmen jitu Negara dalam memperjuangkan isu Palestin di pelbagai platform antarabangsa.
PUTRAJAYA
8 Ogos 2024