MISI BANTUAN KEMANUSIAAN KEPADA MANGSA-MANGSA GEMPA BUMI DI SYRIA
MISI BANTUAN KEMANUSIAAN KEPADA MANGSA-MANGSA GEMPA BUMI DI SYRIA
Sekretariat bagi penyaluran bantuan kemanusiaan ke Syria di bawah kendalian Kementerian Luar Negeri telah mengadakan perbincangan bersama Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Syria di Kuala Lumpur pada 13 Februari 2023. Ia bagi mendapatkan butiran mengenai situasi sebenar di Syria, lokasi-lokasi yang terjejas teruk dan mengenal pasti keperluan asas yang kritikal yang amat diperlukan ketika ini.
Dalam pada masa yang sama, Kerajaan telah mengarahkan satu Pasukan Peninjau Khas ke Damsyik yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri dan disertai wakil dari NADMA, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan juga wakil Persatuan Bulan Sabit Merah serta MERCY Malaysia.
Lawatan Pasukan Peninjau Khas ini amat penting bagi mendapatkan gambaran dan membuat penilaian di lapangan mengenai bentuk bantuan kemanusiaan yang diperlukan. Pasukan ini juga akan membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa di Syria dalam menilai laluan yang selamat untuk misi penghantaran bantuan ini.
Menerusi maklum balas yang diterima daripada Kedutaan Besar Syria di Kuala Lumpur serta Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik, keperluan asas yang kritikal dan amat diperlukan oleh mangsa-mangsa gempa bumi di Syria adalah seperti berikut:
i. Bekalan makanan (pek makanan sedia dimakan, pek makanan ringan, susu formula);
ii. Bekalan ubat-ubatan; dan
iii. Peralatan perubatan termasuk Kit Bantuan Kecemasan.
Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria bolehlah berbuat demikian melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) yang diselia oleh pihak Kementerian Luar Negeri. Sumbangan yang dibuat adalah layak untuk mendapatkan pengecualian cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967. Maklumat mengenai TBKLN adalah seperti berikut:
Nama Akaun : Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri
Nama Bank : Affin Islamic Bank Berhad, Cawangan Putrajaya
Nombor Akaun : 1054 9000 0599
Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit, sila nyatakan butiran sumbangan anda melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh dimajukan kepada pihak Sekretariat TBKLN (tbkln@kln.gov.my).

Mengambil kira kemungkinan berlaku gegaran susulan, rakyat Malaysia yang kini berada di Turkiye, Syria dan di negara-negara berdekatan dinasihatkan agar untuk terus mengambil langkah berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini serta mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dari masa ke semasa.
PUTRAJAYA
14 Februari 2023