MESYUARAT TERGEMPAR JAWATANKUASA EKSEKUTIF DI PERINGKAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC) JEDDAH, ARAB SAUDI 7 OGOS 2024
MESYUARAT TERGEMPAR JAWATANKUASA EKSEKUTIF DI PERINGKAT
MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC)
JEDDAH, ARAB SAUDI
7 OGOS 2024
YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif di Peringkat Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 7 Ogos 2024 di Jeddah, Arab Saudi.
Mesyuarat yang diusulkan oleh Palestin dan Republik Islam Iran ini akan membincangkan jenayah kependudukan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan serta ancaman Israel terhadap kedaulatan Republik Islam Iran. Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Gambia, Pengerusi Sidang Kemuncak OIC Ke-15.
Penyertaan YB Menteri Luar Negeri di Mesyuarat ini memberi peluang untuk Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan besar-besaran di Semenanjung Gaza oleh rejim Israel, termasuk pembunuhan kejam Ismail Haniyeh di Tehran.
Penyertaan Menteri Luar Negeri di Mesyuarat ini menunjukkan komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan usaha-usaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya; dan kemasukan Negara Palestin ke PBB sebagai anggota penuh.
PUTRAJAYA
6 Ogos 2024