MESYUARAT SESI LUAR BIASA KE-18 MAJLIS MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC) BAGI MEMBINCANGKAN JENAYAH BERULANG PENGHINAAN DAN PEMBAKARAN KITAB SUCI AL QURAN DI SWEDEN DAN DENMARK 31 JULAI 2023
MESYUARAT SESI LUAR BIASA KE-18 MAJLIS MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI
PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC) BAGI MEMBINCANGKAN JENAYAH
BERULANG PENGHINAAN DAN PEMBAKARAN KITAB SUCI AL QURAN
DI SWEDEN DAN DENMARK
31 JULAI 2023
YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri, telah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Sesi Luar Biasa ke-18 Majlis Menteri-menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Berhubung Jenayah Berulang Penghinaan dan Pembakaran Kitab Suci Al Quran di Sweden dan Denmark pada 31 Julai 2023.
Mesyuarat Sesi Luar Biasa yang telah diadakan secara atas talian ini dipengerusikan oleh TYT Mohamed Salem Ould Merzoug, Menteri Luar Negeri Republik Mauritania selaku Pengerusi Majlis Menteri Luar Negeri OIC dan telah dihadiri oleh 57 buah Negara Anggota OIC. Agenda utama mesyuarat ini adalah bagi membincangkan jenayah berulang berhubung penghinaan Kitab Suci Al Quran di Sweden dan Denmark.
Sebanyak 32 negara telah memberikan kenyataan negara masing-masing dan sebulat suara menentang kejadian penghinaan dan pembakaran Kitab Suci Al Quran di beberapa buah negara dan menyeru agar negara-negara berkaitan dapat mengelakkan kejadian seumpama ini dari berulang di masa hadapan.
Kenyataan Malaysia yang telah disampaikan oleh YB Timbalan Menteri Luar Negeri telah menegaskan tentang peri pentingnya prinsip sejagat dalam menghormati agama dan kitab- kitab suci agama berkenaan dan turut menyeru agar semua pihak berganding bahu bagi menangani isu Islamofobia untuk memaparkan imej sebenar Islam sebagai agama yang membawa mesej keamanan, kesederhanaan dan toleransi.
Mesyuarat Sesi Luar Biasa ke-18 Majlis Menteri-menteri Luar Negeri ini telah menerima pakai Resolusi Berhubung Jenayah Berulang Penghinaan dan Pembakaran Kitab Suci Al Quran di Sweden dan Denmark. Antara intipati Resolusi ini adalah mengutuk sekeras- kerasnya kejadian penghinaan dan pembakaran Kitab Suci Al Quran yang berlaku di beberapa buah negara, memastikan semua negara anggota OIC meletakkan agenda memerangi sentiment Islamofobia sebagai salah satu keutamaan dan sentiasa diberi perhatian di dalam semua platform antarabangsa (seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Majlis Hak Asasi Manusia).
Sebagai salah sebuah negara pengasas OIC, Malaysia kekal komited di dalam menggalakkan penghormatan dan perlindungan sepenuhnya ke atas kitab suci agama serta memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di seluruh dunia.
PUTRAJAYA
1 Ogos 2023