MESYUARAT SESI LUAR BIASA KE-17 MAJLIS MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC) BAGI MEMBINCANGKAN SITUASI DI AFGHANISTAN ISLAMABAD, PAKISTAN, 19 DECEMBER 2021
MESYUARAT SESI LUAR BIASA KE-17 MAJLIS MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC) BAGI MEMBINCANGKAN SITUASI DI AFGHANISTAN ISLAMABAD, PAKISTAN, 19 DECEMBER 2021
Menteri Luar Negeri, YB Dato' Sri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Sesi Luar Biasa ke-17 Majlis
Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Disember 2021 di Islamabad, Pakistan. Mesyuarat Sesi Luar
Biasa ini akan didahului oleh Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan OIC pada 18 Disember 2021.
Sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak Islam OIC, Arab Saudi telah menyeru agar Mesyuarat Sesi Luar Biasa ini diadakan untuk
membincangkan situasi kemanusiaan di Afghanistan. Pakistan telah menawarkan untuk menjadi tuan rumah bagi mesyuarat ini di
Islamabad.
Mesyuarat Sesi Luar Biasa ini akan membincangkan langkah bagi mengurangkan kesan krisis kemanusiaan di Afghanistan dan
mekanisme bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat dikoordinasikan dengan baik kepada rakyat Afghanistan. Satu Kenyataan Akhir
dijangka akan diterima pakai sebagai dokumen hasil mesyuarat tersebut.
YB Menteri Luar Negeri dijangka akan menyampaikan kenyataan negara sewaktu mesyuarat itu. Dalam kenyataan beliau, YB Menteri Luar
Negeri akan mengetengahkan keazaman Malaysia untuk membantu situasi kemanusiaan di Afghanistan dan mengesahkan sokongan
negara terhadap penyelesaian yang aman dan berkekalan demi kepentingan Afghanistan dan rakyat Afghanistan.
YB Menteri Luar Negeri juga dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Menteri Luar Negeri Pakistan
sebelum Mesyuarat Sesi Luar Biasa bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama. Di samping itu, YB Menteri Luar Negeri juga akan
membuat kunjungan hormat ke atas Presiden dan Perdana Menteri Pakistan.
Mesyuarat Sesi Luar Biasa OIC akan diadakan apabila kepentingan Ummah memerlukannya, untuk mempertimbangkan perkara-perkara
mustahak melibatkan Ummah. Sebagai ahli pengasas OIC, Malaysia telah mengambil bahagian secara aktif dalam semua inisiatif OIC
demi kemaslahatan Ummah.
Mesyuarat Sesi Luar Biasa ini juga akan diadakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ketat yang telah
diselaraskan oleh Kerajaan Malaysia dan Pakistan.
PUTRAJAYA
17 DISEMBER 2021