MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN ke-54 (AMM ke-54) DAN MESYUARAT BERKAITAN, 2-7 OGOS 2021, MELALUI PERSIDANGAN VIDEO
MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN ke-54 (AMM ke-54)
DAN MESYUARAT BERKAITAN, 2-7 OGOS 2021, MELALUI PERSIDANGAN VIDEO
Menteri Kanan Luar Negeri Malaysia, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-54 (AMM Ke-54) dan Mesyuarat – Mesyuarat berkaitan secara persidangan video mulai 2 hingga 7 Ogos 2021. Selaku Pengerusi ASEAN 2021, kesemua mesyuarat tersebut akan dihoskan oleh Brunei Darussalam.
Semasa AMM ke-54, Menteri Luar Negeri ASEAN akan membincangkan kemajuan Pembangunan Komuniti ASEAN, Keutamaan dan Hasil Utama ASEAN termasuk strategi bersama pemulihan sosio-ekonomi COVID-19, pelaksanaan Pelan Pembangunan Keselamatan Politik ASEAN 2025, isu-isu serantau serta persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Mesyuarat – Mesyuarat yang Berkaitan, yang dijadualkan pada Oktober 2021.
Secara keseluruhannya, sepanjang enam hari AMM Ke-54, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dijadual menyertai mesyuarat-mesyuarat seperti berikut:
1. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-54
2. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN+3 Ke-22 (APT FMM Ke-22)
3. Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ)
4. Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-23
5. Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-29
6. Mesyuarat Suamuka (interface) bersama wakil-wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR)
7. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – ROK
8. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN-China
9. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Jepun
10. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Amerika Syarikat
11. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Australia (Mempengerusikan Bersama)
12. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Russia
13. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri Sempena Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-11 (EAS FMM Ke-11)
14. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Kanada
15. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – New Zealand
16. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – India
17. Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Kesatuan Eropah (EU)
18. Forum Serantau ASEAN ke-28 (ARF Ke-28)
Malaysia merupakan Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia bagi tempoh 2018-2021. Dato' Seri Hishammuddin dan rakan sejawatnya dari Australia, Senator Marise Payne, Menteri Luar Negeri dan Menteri Wanita Australia, akan mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Australia.
Di akhir mesyuarat ini, Malaysia akan menyerahkan peranan sebagai Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia kepada Lao PDR. Malaysia juga akan mengambil alih peranan Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN – Kanada daripada Myanmar selepas Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Kanada.
Di akhir AMM Ke-54 dan Mesyuarat – Mesyuarat Berkaitan, Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka memperakukan beberapa dokumen, termasuk Kenyataan Bersama AMM Ke-54 yang akan memperincikan hasil perbincangan serta keputusan strategik yang dicapai semasa mesyuarat-mesyuarat tersebut.
PUTRAJAYA
1 OGOS 2021