MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN (AMM), KUALA LUMPUR 25 MEI 2025
MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN (AMM), KUALA LUMPUR
25 MEI 2025
Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) akan diadakan pada 25 Mei 2025 di Kuala Lumpur, Malaysia, sebagai persediaan kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN–GCC ke-2, dan Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China.
Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, dan akan menghimpunkan Menteri-Menteri Luar Negeri Negara-Negara Anggota ASEAN untuk membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang utama, selaras dengan tema Pengerusi ASEAN Malaysia, “ASEAN 2025: Keterangkuman dan Kemampanan”.
Mesyuarat ini akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pembinaan Komuniti ASEAN, termasuk taklimat oleh Sekretariat ASEAN mengenai perkembangan berkaitan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia - TAC) . Para Menteri juga akan membincangkan susulan terhadap Kajian Pemimpin-Pemimpin ASEAN mengenai Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar, yang diterajui oleh Malaysia.
Selain itu, Mesyuarat ini akan menyentuh mengenai keterlibatan ASEAN dengan rakan luar di bawah agenda Hubungan Luar ASEAN, serta mengadakan perbincangan mengenai keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, termasuk penerimaan garis panduan bagi pematuhan Timor-Leste terhadap instrumen undang-undang ASEAN di bawah kerangka Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN.
Hasil perbincangan Mesyuarat ini akan menjadi asas kepada perbincangan di Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN–GCC ke-2, dan Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China, yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 27 Mei 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, kekal komited dalam memajukan Komuniti ASEAN yang bersatu padu, inklusif dan berpandangan jauh, yang responsif terhadap keperluan rakyat serta berdaya tahan menghadapi cabaran serantau dan global.
PUTRAJAYA
25 Mei 2025