MESYUARAT MAJLIS PENYELARASAN ASEAN KE-32 DAN SESI PEMUKIMAN MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN 3 – 4 FEBRUARI 2023
MESYUARAT MAJLIS PENYELARASAN ASEAN KE-32 DAN SESI PEMUKIMAN
MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN
3 – 4 FEBRUARI 2023
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-32 dan Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) dari 3 hingga 4 Februari 2023 di Jakarta, Indonesia. Beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri.
Indonesia merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2023 dengan tema “ASEAN Matters: Epicentrum of Growth”. Indonesia dijangka mengumumkan bidang-bidang keutamaan dan hasil-hasil utama Kepengerusian ASEAN untuk tahun 2023.
Antara isu-isu yang akan dibincangkan oleh para Menteri Luar Negeri ASEAN adalah pelaksanaan serta tindakan susulan terhadap keputusan-keputusan yang telah dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 pada November 2022, termasuk pelaksanaan Konsensus Lima-Perkara, permohonan Timor-Leste untuk menjadi Negara Anggota ASEAN, kapasiti dan keberkesanan institusi ASEAN, hubungan luar, serta pertukaran pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
ACC ke-32 dan AMM ini akan memberi peluang terbaik untuk Malaysia dan Negara Anggota ASEAN yang lain bagi mengukuhkan lagi usaha ASEAN ke arah membina Komuniti yang inklusif, mampan dan berdaya tahan berlatarbelakangkan cabaran- cabaran geopolitik, tekanan inflasi, serta krisis makanan dan tenaga.
Selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-40, Timor-Leste akan mengambil bahagian dalam mesyuarat ACC ke-32 dan AMM tersebut sebagai Pemerhati.
YB Menteri Luar Negeri juga akan mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat sampingan dengan beberapa rakan sejawatannya bagi membincangkan pengukuhan hubungan dua hala.
PUTRAJAYA
2 Februari 2023