MESYUARAT KE-6 SURUHANJAYA BERSAMA ANTARA MALAYSIA DAN REPUBLIK SOSIALIS VIETNAM, 15 NOVEMBER 2021
MESYUARAT KE-6 SURUHANJAYA BERSAMA ANTARA MALAYSIA DAN REPUBLIK SOSIALIS VIETNAM, 15 NOVEMBER 2021
Mesyuarat Ke-6 Suruhanjaya Bersama antara Malaysia dan Republik Sosialis Vietnam telah diadakan secara maya pada 15 November 2021, dan dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Luar Negeri Malaysia, Y.B. Dato’ Saifuddin Abdullah dan rakan sejawat beliau T.Y.T. Bui Thanh Son.
Mesyuarat tersebut telah berlangsung dalam suasana yang mesra, mencerminkan hubungan dua hala rapat yang telah lama terjalin antara kedua-dua buah negara. Kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan yang berkenaan kerjasama dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau serta antarabangsa. Kedua-dua pihak juga menyuarakan komitmen mereka untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala, termasuk antara lain kerjasama pasca pemulihan COVID-19, pembukaan semula sempadan, pembangunan vaksin serta industri Halal.
Mesyuarat tersebut juga telah menerima pakai Pelan Tindakan (Plan of Action – POA) 2021 – 2025 bagi pelaksanaan Rangka Kerja Perkongsian Strategik antara Malaysia dan Vietnam. POA tersebut antara lain, menetapkan sasaran untuk mencapai jumlah perdagangan dua hala sebanyak USD18 bilion menjelang tahun 2025. Ke arah mencapai sasaran ini, Malaysia dan Vietnam berharap untuk meningkatkan lagi pelaburan dua hala dan menggalakkan penceburan bidang-bidang baharu oleh entiti perniagaan dengan lebih meluas.
Mesyuarat ini juga telah membuka jalan bagi meningkatkan kerjasama dua hala dan mempergiatkan semula kerjasama Malaysia-Vietnam pasca COVID-19.
PUTRAJAYA
15 NOVEMBER 2021