MESYUARAT JAWATANKUASA PERINGKAT MENTERI PERGERAKAN NEGARA-NEGARA BERKECUALI (NAM) MENGENAI PALESTIN BAKU, AZERBAIJAN 5 JULAI 2023
MESYUARAT JAWATANKUASA PERINGKAT MENTERI
PERGERAKAN NEGARA-NEGARA BERKECUALI (NAM) MENGENAI PALESTIN
BAKU, AZERBAIJAN
5 JULAI 2023
YB Menteri Luar Negeri telah menyampaikan kenyataan Malaysia pada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Menteri Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Mengenai Palestin yang diadakan di Baku, Azerbaijan pada 5 Julai 2023.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Azerbaijan dan dihadiri oleh 15 Negara Anggota NAM yang merupakan ahli Jawatankuasa NAM Mengenai Palestin.
Antara isu utama yang telah dibangkitkan oleh YB Menteri Luar Negeri adalah seperti berikut:
- Menzahirkan kebimbangan terhadap situasi semasa di Palestin, sehingga menyebabkan kehilangan nyawa orang ramai termasuk wanita dan kanak-kanak serta kemusnahan bangunan dan infrastruktur secara berterusan;
- Mengecam jumlah peningkatan penempatan haram di Palestin dan tindakan rejim Israel yang memperlekehkan undang-undang antarabangsa termasuk undang- undang kemanusiaan serta hak asasi manusia;
- Mengesali insiden terkini di Jenin yang melibatkan pembunuhan rakyat awam Palestin oleh rejim Israel;
- Mengkritik sikap pilih kasih negara-negara Barat yang kerap mengecam konflik di negara-negara lain tetapi melindungi rejim Israel daripada bertanggungjawab ke atas tindakan penindasan terhadap warga Palestin; dan
- Menggesa Negara-Negara Anggota NAM untuk terus bersatu dalam mempertahankan pendirian berprinsip NAM mengenai Palestin, serta mengecam kekejaman dan dasar apartheid rejim Israel.
Pendirian Malaysia masih kekal sama iaitu memperakui hak Palestin dan rakyatnya untuk memiliki negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat sama seperti negara merdeka yang lain di dunia.
PUTRAJAYA
6 Julai 2023