MESYUARAT DUA HALA DI SELA-SELA MESYUARAT PERINGKAT MENTERI PERGERAKAN NEGARA-NEGARA BERKECUALI (NAM) BAKU, AZERBAIJAN 5 JULAI 2023
MESYUARAT DUA HALA DI SELA-SELA MESYUARAT PERINGKAT MENTERI
PERGERAKAN NEGARA-NEGARA BERKECUALI (NAM)
BAKU, AZERBAIJAN
5 JULAI 2023
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan tujuh (7) Menteri Luar Negeri iaitu TYT Jeyhun Bayramov, Menteri Luar Negeri Azerbaijan; TYT Dr. Fuad Muhammad Hussein, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Iraq; TYT Hossein Amir Abdollahian Menteri Luar Negeri Iran; TYT Narayan Prakash Saud, Menteri Luar Negeri Nepal; TYT Deng Dau Deng Malek, Pemangku Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Sudan Selatan; TYT Hakan Fidan, Menteri Luar Negeri Türkiye dan TYT Yvan Gil-Pinto, Menteri Luar Negeri Venezuela pada sela-sela Mesyuarat Menteri- menteri Luar Negeri Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Baku, Azerbaijan pada 5 Julai 2023.
Semasa pertemuan dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Iraq, kedua-dua Menteri telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dua hala. Timbalan Perdana Menteri Iraq telah memanjangkan jemputan kepada Malaysia untuk bekerjasama dalam usaha pembinaan semula negara Iraq yang sedang dalam proses pemulihan selepas era perang yang berpanjangan.
Ketika pertemuan dengan rakan sejawat beliau dari Azerbaijan, Dr. Zambry merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Azerbaijan atas Kepengerusian NAM oleh negara tersebut dari tahun 2019 sehingga kini. Di bawah kepengerusian Azerbaijan, NAM telah giat menyuarakan pandangan di peringkat antarabangsa dalam pelbagai isu yang berkepentingan bersama. Selain itu, kedua- dua Menteri Luar Negeri juga bersetuju untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah mencapai ulang tahun ke-30 pada tahun ini.
Semasa pertemuan dengan Menteri Luar Negeri Türkiye, perbincangan tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala serta kerjasama dalam bidang keselamatan dan pertahanan Malaysia-Türkiye.
Selain itu, isu-isu yang dibangkitkan oleh YB Menteri Luar Negeri semasa pertemuan- pertemuan dua hala termasuklah isu masalah syarikat Malaysia di luar negara, meningkatkan kerjasama, potensi perdagangan dan pelaburan baru serta isu-isu berkepentingan bersama.
Permintaan tinggi untuk pertemuan dua hala bersama YB Menteri Luar Negeri memaparkan kredibiliti Malaysia sebagai negara anggota NAM yang dinamik, berpengaruh dan sentiasa tegas dalam menyuarakan pandangan terhadap krisis semasa serantau dan global.
PUTRAJAYA
7 Julai 2023