MALAYSIA SECARA KONSISTEN MENGGESA GENCATAN SENJATA YANG KEKAL DAN BERKESAN DI GAZA
MALAYSIA SECARA KONSISTEN MENGGESA GENCATAN SENJATA
YANG KEKAL DAN BERKESAN DI GAZA
Malaysia secara konsisten menggesa gencatan senjata yang kekal dan berkesan untuk menamatkan segera pembunuhan rakyat Palestin dan konflik di Gaza. Kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Israel telah menyebabkan satu tragedi kemanusiaan yang sangat dahsyat di Gaza. Dalam konteks ini, cadangan tiga fasa yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden untuk gencatan senjata sepenuhnya, pembebasan tawanan dari kedua-dua pihak, usaha ke arah menamatkan permusuhan secara kekal, dan rancangan pembinaan semula yang komprehensif untuk Palestin merupakan satu langkah yang tepat.
Malaysia menyeru pihak yang berkaitan menerima cadangan itu dan berusaha ke arah pelaksanaan sepenuhnya sebagai langkah yang terbaik untuk menamatkan malapetaka berterusan di Gaza dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Wilayah Palestin.
Masyarakat antarabangsa juga mesti mengutamakan bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin serta pembinaan semula Gaza.
Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
PUTRAJAYA
3 Jun 2024