MALAYSIA MERAIKAN HARI KOMANWEL 2024 - 11 MAC 2024
MALAYSIA MERAIKAN HARI KOMANWEL 2024 - 11 MAC 2024
Hari Komanwel disambut pada hari Isnin minggu kedua bulan Mac setiap tahun bagi meraikan jalinan dan ikatan persahabatan serta sumbangan Komanwel ke arah keamanan dan keharmonian sejagat.
Tema Hari Komanwel pada tahun ini ialah “One Resilient Common Future: Transforming Our Common Wealth”. Tema ini menyeru Negara-Negara Ahli untuk mempertingkatkan kerjasama bagi membina daya ketahanan, membuka potensi dan mengukuhkan hubungan digital bagi memastikan Komanwel kekal relevan untuk masa hadapan.
Malaysia mengalu-alukan penganjuran Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) Ke-27 di Apia, Samoa pada Oktober tahun ini. Malaysia komited untuk terus bekerjasama dengan Negara-Negara Ahli Komanwel lain dalam bidang-bidang keutamaan, termasuk tadbir urus yang baik, diplomasi kesihatan, pencegahan ekstremisme dan keganasan, pembangunan lestari, pemerkasaan wanita dan belia, perdagangan dan isu-isu alam sekitar.
Malaysia menyertai Komanwel selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Pertubuhan Komanwel terdiri daripada 56 Negara Ahli yang dahulunya merupakan sebahagian daripada Empayar British.
PUTRAJAYA
11 Mac 2024