MALAYSIA MENYAMBUT HARI PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) 2024 24 OKTOBER 2024
MALAYSIA MENYAMBUT HARI PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) 2024
24 OKTOBER 2024
Pada hari ini, Malaysia bersama-sama 192 Negara Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambut hari ulang tahun penubuhan PBB pada 24 Oktober 1945.
Tujuh puluh sembilan tahun yang lalu, Piagam PBB telah menetapkan tiga tonggak asas penubuhan PBB, iaitu keamanan dan keselamatan; hak asasi manusia; dan pembangunan mampan. Sejak tahun 1945, ketiga-tiga tonggak ini telah menyediakan kerangka untuk menangani cabaran-cabaran global dan menjalinkan kerjasama antara negara.
Malaysia teguh dalam memperjuangkan multilateralisme dan prinsip serta nilai Piagam PBB sejak diterima sebagai Negara Anggota PBB pada 17 September 1957 Sempena hari bermakna ini, Malaysia mengulangi azam dan komitmennya terhadap prinsip-prinsip teras ini.
Melalui kerjasama dengan PBB dan rakan kongsi antarabangsa yang lain, Malaysia akan mempergiatkan usaha-usaha ke arah dunia yang adil, makmur dan saksama bagi membina masa depan yang lebih baik untuk semua. Malaysia turut menzahirkan harapan untuk mengukuhkan kerjasama ASEAN-PBB semasa Kepengerusian ASEAN 2025.
Selamat Hari Ulang Tahun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
PUTRAJAYA
24 Oktober 2024