MALAYSIA MENYAMBUT BAIK KENYATAAN BERSAMA OLEH NEGARA PENDERMA MENGENAI SITUASI DI GAZA
MALAYSIA MENYAMBUT BAIK KENYATAAN BERSAMA OLEH NEGARA PENDERMA MENGENAI SITUASI DI GAZA
Malaysia menyambut baik kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 19 Mei 2025 oleh Menteri Luar Negeri dari 23 negara1 penderma kepada Palestin, yang menyeru agar bantuan kemanusiaan ke Gaza disambung semula dengan segera. Malaysia juga mengutuk sepenuhnya tindakan Israel yang terus menerus menghalang bantuan bagi tujuan menyelamatkan nyawa. Pendekatan kolektif ini merupakan satu langkah kritikal bagi menyuarakan semula isu bencana kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden dunia yang telah lama sepi.
Malaysia menentang sebarang tindakan yang menyebabkan kebuluran orang awam dan menggunakan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang. Masyarakat antarabangsa seharusnya bersatu dan bertindak untuk memaksa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan menjamin akses tanpa sekatan kepada keperluan asas termasuk bekalan makanan, air, dan perubatan.
Malaysia tetap teguh dalam solidaritinya dengan rakyat Palestin dan mengulangi seruan kepada negara-negara yang masih belum mengiktiraf Negara Palestin, untuk berbuat demikian dengan segera. Pengiktirafan bukan sahaja bersifat simbolik, ia adalah langkah yang diperlukan untuk mengakhiri penjajahan selama berdekad-dekad dan memulihkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, maruah, dan keamanan. Tanpa kehendak politik, tiada penyelesaian, hanya kitaran berterusan keganasan dan penderitaan.
PUTRAJAYA
22 Mei 2025