MALAYSIA MENJADIKAN KERJASAMA ANTARABANGSA SEBAGAI NADI UTAMA DALAM USAHA BANTUAN KEMANUSIAAN DAN KEAMANAN DI GAZA
MALAYSIA MENJADIKAN KERJASAMA ANTARABANGSA SEBAGAI NADI UTAMA
DALAM USAHA BANTUAN KEMANUSIAAN DAN KEAMANAN DI GAZA
YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri telah mengetuai Delegasi Malaysia ke Persidangan Peringkat Tinggi "Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza", yang berlangsung di Pusat Konvensyen King Hussein bin Talal, Laut Mati, Jordan, pada 11 Jun 2024.
Persidangan Peringkat Tinggi ini telah dianjurkan oleh Jordan, Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menggembleng sokongan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan bantuan kemanusiaan untuk Gaza. Sebanyak 75 perwakilan terdiri daripada Ketua-Ketua Negara/ Kerajaan dan Menteri, Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa dan pihak berkepentingan telah menyertai Persidangan tersebut.
YB Menteri Luar Negeri mengalu-alukan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2024), yang antara lain, menyeru untuk gencatan senjata segera, kekal dan berkesan, menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula Gaza. Beliau juga telah menekankan agar semua pihak menyokong usaha-usaha ke arah mencapai penyelesaian damai dengan menangani punca utama konflik, iaitu pendudukan haram dan kezaliman Israel; mensabitkan akauntabiliti melalui ‘reparative approach’ ke atas Israel dan memperkasakan usaha-usaha bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Menteri Luar Negeri juga mengambil peluang untuk bertemu dan membincangkan isu-isu hubungan dua hala. Semasa pertemuan dengan TYT Antony Bliken, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, kedua-dua Menteri bersetuju bahawa gencatan senjata merupakan langkah utama bagi memastikan sebarang penghantaran bantuan kemanusiaan di Gaza secara berkesan. TYT Blinken juga telah menzahirkan sokongan Amerika Syarikat ke atas Kepusatan ASEAN dan penghargaan kepada Malaysia menyokong Resolusi yang diusulkan Amerika Syarikat, yang diluluskan Majlis Keselamatan PBB pada 10 Jun 2024.
Di samping itu, Menteri Luar Negeri juga telah menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Sepanyol atas pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara, semasa pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya, TYT José Manuel Albares Bueno. Dalam pertemuannya dengan TYT Ayman Safadi, Menteri Luar Negeri Jordan, kedua-dua Menteri membincangkan keperluan untuk penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza dengan kadar segera.
YB Menteri Luar Negeri turut menyerahkan sumbangan berjumlah USD500 ribu masing-masing kepada Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO) dan Pusat Kanser Raja Hussein (KHCC) menerusi Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin - AAKRP). Malaysia telah bekerjasama dengan JHCO dalam menyediakan makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas, yang diperlukan untuk kelangsungan hidup dan kesejahteraan penduduk di Gaza, manakala KHCC menyediakan rawatan dan penjagaan percuma kepada rakyat Palestin yang menderita akibat kanser.
Lawatan Kerja Menteri Luar Negeri ke Jordan membuktikan sokongan Malaysia yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin, baik di peringkat dua hala mahupun pelbagai hala. Lawatan ini telah menjadi wadah penting untuk Malaysia terus menggandakan usaha diplomatik, termasuk gencatan senjata segera dan berkekalan, bagi menamatkan krisis di Gaza.
PUTRAJAYA
12 Jun 2024