MALAYSIA MENGECAM TINDAKAN MENYASARKAN BANGUNAN KONSULAT IRAN DI DAMSYIK, SYRIA
MALAYSIA MENGECAM TINDAKAN MENYASARKAN BANGUNAN KONSULAT IRAN DI
DAMSYIK, SYRIA
Malaysia mengecam tindakan menyasarkan bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria, yang telah mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.
Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi ini. Malaysia turut mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang tercedera.
Tindakan sengaja menyasarkan premis diplomatik ini adalah jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan amalan diplomatik.
Malaysia menyeru semua pihak yang terlibat untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati premis diplomatik sebagai kawasan mutlak (inviolable) bagi sesebuah negara. Insiden ini telah memberikan petanda bahawa perlunya dialog bagi meredakan konflik di rantau ini.
Malaysia menekankan kepentingan penyiasatan menyeluruh dilakukan terhadap serangan ini dan menggesa semua pihak mengelakkan sebarang provokasi yang boleh meningkatkan ketegangan.
PUTRAJAYA
2 April 2024