MALAYSIA MENGECAM SERANGAN KEGANASAN DI PERSEKUTUAN RUSIA
MALAYSIA MENGECAM SERANGAN KEGANASAN DI PERSEKUTUAN RUSIA
Serangan keganasan di Moscow pada hari Jumaat lalu sangat menyedihkan. Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, keganasan tiada tempat dalam dunia bertamadun ini.
Malaysia menyertai masyarakat antarabangsa dalam mengecam sekeras-kerasnya kekejaman ini dan mengulangi pendirian menolak semua bentuk keganasan yang menggugat keamanan dan keselamatan mana-mana negara.
Malaysia menekankan semula pendirian tegasnya dalam menentang keganasan dan ekstremisme dalam segala bentuk dan manifestasinya dan menyeru agar pelaku serangan keji ini segera dibawa ke muka pengadilan.
Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar dan pejabatnya di seluruh dunia, terus komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara, serta memperjuangkan dialog dan penyelesaian konflik secara aman.
PUTRAJAYA
24 Mac 2024