MALAYSIA MENGECAM SERANGAN ISRAEL DI KEM PELARIAN NUSEIRAT DI TENGAH GAZA
MALAYSIA MENGECAM SERANGAN ISRAEL
DI KEM PELARIAN NUSEIRAT DI TENGAH GAZA
Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan dan serbuan kejam oleh tentera Israel ke atas kem pelarian Nuseirat, yang mengorbankan lebih dari 270 rakyat Palestin yang tidak berdosa, dan mencederakan 600 yang lain. Adalah tidak wajar membenarkan Israel melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya dan mensasarkan tempat perlindungan pelarian.
Tindakan ini yang dilakukan semasa rundingan damai antara pihak yang bertelagah sedang berjalan, hanya menggambarkan ketidakikhlasan rejim Israel.
Dalam tempoh 247 hari, pengeboman dan serangan Israel yang berterusan telah membunuh 37,084 rakyat Palestin, kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, dan menyebabkan lebih ramai lagi cedera.
Walaupun seruan dan rayuan berkali-kali oleh masyarakat antarabangsa dan agensi kemanusiaan untuk menamatkan pembunuhan berterusan yang tidak berperikemanusiaan, Israel berterusan melancarkan serangan tanpa rasa bersalah dan menjadi punca kepada pelancaran salah satu operasi yang paling banyak mengorbankan rakyat Palestin.
Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk menggunakan semua jalan penyelesaian yang ada untuk menamatkan konflik ini dan mencegah kehilangan lebih banyak nyawa yang tidak bersalah.
Serangan berterusan Israel ke atas orang awam ini menyamai jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai (genosid), memperolokkan undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Kepimpinan Israel mesti dibawa ke muka pengadilan di atas pendudukan haramnya di Palestin dan tindakan mengorbankan nyawa manusia.
PUTRAJAYA
10 Jun 2024