MALAYSIA MENGECAM SEKERAS-KERASNYA PENGEBOMAN DI KAWASAN PERKUBURAN KERMAN DI BANDAR KERMAN, REPUBLIK ISLAM IRAN
MALAYSIA MENGECAM SEKERAS-KERASNYA PENGEBOMAN DI KAWASAN
PERKUBURAN KERMAN DI BANDAR KERMAN, REPUBLIK ISLAM IRAN
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pengeboman di kawasan Perkuburan Kerman di bandar Kerman pada 3 Januari 2024, yang setakat ini telah meragut sekurang-kurangnya 95 nyawa dan ratusan cedera. Malaysia dengan tegas menolak sebarang tindakan ganas dan aktiviti keganasan dalam semua bentuk dan menyeru agar mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dengan kadar segera.
Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi ini, serta kepada Kerajaan dan rakyat Iran. Malaysia turut mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang cedera.
Setakat ini, tiada laporan rakyat Malaysia terlibat dalam tragedi ini. Kedutaan Besar Malaysia di Tehran akan terus memantau perkembangan semasa dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini.
Rakyat Malaysia di Iran, khususnya yang berada di bandar Kerman, dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan semasa, mengambil langkah berjaga-jaga, dan sentiasa mematuhi nasihat perjalanan oleh pihak berkuasa tempatan. Untuk sebarang bantuan, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran boleh dihubungi di butiran berikut:
Consulate/Embassy
Alamat : No.25, 2nd Alley,
North Zarafshan St.,
Shahrak-e-Gharb
No. Telefon : +98 21 880724444
+98 21 88078606
Emel : mwtehran@kln.gov.my
PUTRAJAYA
4 Januari 2024