MALAYSIA MENGECAM KEPUTUSAN PARLIMEN ISRAEL MELULUSKAN RANG UNDANG-UNDANG YANG MENGHARAMKAN OPERASI UNRWA DI BAITULMAQDIS, GAZA DAN TEBING BARAT
MALAYSIA MENGECAM KEPUTUSAN PARLIMEN ISRAEL MELULUSKAN RANG
UNDANG-UNDANG YANG MENGHARAMKAN OPERASI UNRWA DI BAITULMAQDIS, GAZA
DAN TEBING BARAT
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya apa yang dikatakan rang undang-undang Parlimen Israel (Knesset) yang mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi di Wilayah Pendudukan Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza.
Malaysia mengutuk tindakan ini sebagai serangan terang-terangan terhadap Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia merupakan penempelakan serius kepada masyarakat antarabangsa dan kehormatan sesebuah agensi kemanusiaan antarabangsa.
Malaysia menegaskan sekali lagi bahawa rejim Zionis Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Negara Palestin yang dijajah, termasuk Baitulmaqdis, di mana kehadiran UNRWA diktiraf melalui perjanjian antara Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
UNRWA telah ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan telah memainkan peranan penting dalam menyediakan talian hayat untuk lebih 5.9 juta rakyat Palestin di Palestin dan pelarian Palestin di seluruh Timur Tengah, menyediakan perkhidmatan kritikal dalam pendidikan, perawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, terutamanya semasa konflik yang masih berterusan.
Apa yang dikatakan rang undang-undang ini seolah-olah berniat menghalalkan tindakan rejim Zionis Israel yang sengaja dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa untuk menghapuskan UNRWA. Ini merupakan sebahagian daripada strateginya untuk menafikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanahair mereka seperti yang didukung oleh Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194 dan juga sebagai strategi untuk mendatangkan kebuluran kepada mereka yang terselamat daripada bencana kemanusiaan dan genosid di Gaza.
Malaysia kekal teguh dalam komitmennya menyokong UNRWA. Masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan yang tegas dan segera terhadap rang undang-undang ini demi melindungi UNRWA, dan juga demi menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
PUTRAJAYA
30 Oktober 2024