MALAYSIA MENGALU-ALUKAN TINDAKAN AFRIKA SELATAN MEMOHON LANGKAH-LANGKAH SEMENTARA TAMBAHAN KE ATAS ISRAEL DI MAHKAMAH KEADILAN ANTARABANGSA
MALAYSIA MENGALU-ALUKAN TINDAKAN AFRIKA SELATAN MEMOHON
LANGKAH-LANGKAH SEMENTARA TAMBAHAN KE ATAS ISRAEL DI
MAHKAMAH KEADILAN ANTARABANGSA
Malaysia mengalu-alukan tindakan terkini Afrika Selatan memohon supaya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menetapkan langkah-langkah sementara (provisional measures) tambahan ke atas Israel. Sesi pendengaran awam sedang diadakan di Peace Palace, The Hague dari 16 hingga 17 Mei 2024.
Langkah-langkah sementara tambahan tersebut menetapkan supaya Israel menghentikan serangan ketenteraan di Rafah dengan segera; melicinkan penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan; dan supaya Israel melaporkan tindakan yang telah diambil serta pematuhan mengenai perintah langkah-langkah sementara kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Malaysia menyokong sepenuhnya dan menyambut baik usaha Afrika Selatan untuk menghentikan genosid ke atas rakyat Palestin di Gaza. Ini merupakan permohonan Afrika Selatan yang ketiga sejak Mahkamah Keadilan Antarabangsa menetapkan langkah-langkah sementara pada 26 Januari 2024.
Pada 22 Februari 2024, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, telah menyampaikan Kenyataan Lisan Malaysia di Sesi Pendengaran Awam berhubung permohonan bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, yang telah diadakan di Peace Palace, The Hague.
Serangan besar-besaran Israel di Rafah ke atas lebih 1.4 juta rakyat Palestin yang terperangkap dan berlindung di kawasan seluas 64 kilometer persegi, akan mengakibatkan malapetaka kemanusiaan yang besar. Masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab bersama untuk menuntut Israel menghentikan operasi ketenteraannya.
Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh PBB.
PUTRAJAYA
17 Mei 2024